Oslo | MEDIAREALITAS – Seorang pelajar Malaysia yang ditahan di Oslo, awal bulan ini, kerana memiliki alat pendengaran elektronik, tidak lagi disyaki mengintip tetapi mungkin terbabit dalam jenayah ekonomi, menurut penyiasat.
Lelaki berusia 25 tahun itu ditahan pada 8 September di Oslo selepas kereta sewanya diperhatikan berhampiran pejabat Perdana Menteri dan Kementerian Pertahanan, dan pada masa sama, isyarat elektronik luar biasa dikesan di lokasi itu.
Perkhidmatan perisikan PST mengambil alih kes itu kerana disyaki pengintipan.
“Hipotesis pengintipan dilihat lemah dengan ketara. Sementara itu, hipotesis jenayah ekonomi terancang mengukuh dengan ketara,” menurut PST di platform X, kelmarin.
Oleh itu, kes itu diserahkan kepada unit polis Jenayah Ekonomi dan Alam Sekitar Norway, yang dikenali sebagai Okokrim.
Menurut unit itu, pelajar Malaysia itu dipercayai terbabit dalam penipuan meluas dengan kaitan jenayah terancang, mungkin mempunyai hubungan antarabangsa.
Ketika ditahan, lelaki itu dipercayai menggunakan ‘IMSI-catcher’, alat ncuri dengar telefon yang digunakan untuk memintas trafik telefon bimbit dan menjejak data lokasi.
Bagaimanapun, suspek menolak dakwaan pengintipan, menurut peguamnya.
Sumber:hmetro

